Bagaimana Infestasi Kutu Boleh Menyebabkan Jangkitan Cacing Pita pada Anjing

Kutu bukan sahaja menyebabkan anjing kegatalan, malah boleh meningkatkan risiko jangkitan cacing pita. Ketahui bagaimana kutu menyebarkan cacing pita dan mengapa perlindungan parasit sepanjang tahun amat penting.

July Article 2_Desktop2.jpg
July Article 2_Mobile2.jpg

Pengenalan

Kutu dan cacing pita merupakan dua daripada parasit yang paling lazim menjangkiti anjing. Kutu hidup pada kulit dan bulu, manakala cacing pita pula hidup di dalam usus. Namun begitu, walaupun kedua-duanya menjangkiti bahagian tubuh yang berbeza, ramai penjaga tidak menyedari bahawa kedua-dua parasit ini sebenarnya saling berkait rapat.

Salah satu spesies cacing pita yang paling kerap ditemui pada anjing ialah Dipylidium caninum, atau lebih dikenali sebagai cacing pita kutu (flea tapeworm). Berbeza daripada kebanyakan cacing usus yang lain, cacing pita ini merebak apabila si manja termakan kutu yang telah dijangkiti secara tidak sengaja ketika menggaru, menggigit atau menjilat bulunya.¹ Ini bermakna infestasi kutu bukan sahaja menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan, malah turut boleh mengakibatkan jangkitan cacing pita.

Berita baiknya, memahami kaitan antara kutu dan cacing pita merupakan langkah pertama untuk melindungi anjing anda. Teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana kutu boleh menyebarkan cacing pita, tanda-tanda yang perlu diberi perhatian, serta bagaimana perlindungan parasit bulanan dapat membantu memastikan si manja kekal sihat sepanjang tahun.

Bagaimana Kutu Menyebarkan Cacing Pita?

Berbeza daripada kebanyakan parasit usus yang lain, si manja tidak dijangkiti Dipylidium caninum melalui makanan atau air yang tercemar. Sebaliknya, jangkitan berlaku apabila si manja termakan kutu yang telah dijangkiti secara tidak sengaja ketika membersihkan diri atau menggigit kulit yang gatal akibat infestasi kutu.¹ Selepas kutu tersebut dicerna, cacing pita yang belum matang akan dilepaskan dan mula berkembang di dalam usus si manja.

Berikut ialah bagaimana kitaran hidup kutu–cacing pita berlaku:¹

1. Larva kutu dijangkiti parasit

Anjing yang dijangkiti akan mengeluarkan telur cacing pita bersama najisnya. Larva kutu yang berada di persekitaran pula memakan sisa organik dan mungkin termakan telur cacing pita ini secara tidak sengaja. Apabila kutu berkembang menjadi kutu dewasa, cacing pita turut membesar di dalam tubuhnya.¹

2. Anjing termakan kutu yang telah dijangkiti

Anjing yang mengalami infestasi kutu sering menggaru, menggigit atau membersihkan bulu mereka untuk mengurangkan rasa tidak selesa. Semasa proses membersihkan diri, anjing mungkin termakan kutu yang telah dijangkiti secara tidak sengaja.¹

3. Cacing pita berkembang di dalam usus

Selepas kutu tersebut dicerna, cacing pita yang belum matang akan dilepaskan ke dalam usus kecil anjing. Cacing pita ini akan melekat pada dinding usus menggunakan bahagian mulut khusus dan berkembang menjadi cacing pita dewasa dalam tempoh sekitar dua hingga tiga minggu.¹˒²

4. Kitaran hidup bermula semula

Cacing pita dewasa menyerap nutrien daripada usus anjing dan menghasilkan segmen badan yang mengandungi telur. Segmen ini akan keluar bersama najis anjing, melepaskan telur ke persekitaran dan meneruskan semula kitaran hidup kutu–cacing pita.²

Apakah Tanda-Tanda Jangkitan Cacing Pita pada Anjing?

Jangkitan cacing pita sering tidak disedari kerana kebanyakan anjing menunjukkan sedikit atau tiada tanda yang jelas, terutamanya pada peringkat awal. Namun, apabila cacing pita semakin membesar, anda mungkin melihat perubahan pada tingkah laku anjing atau menemui segmen kecil berwarna putih yang kelihatan seperti butiran beras di sekitar dubur, tempat tidur atau najis anjing anda.

Antara tanda-tanda biasa jangkitan cacing pita termasuk:³

• Menggesel punggung pada lantai (scooting) – Anjing menyeret bahagian belakang badannya di atas lantai akibat rasa tidak selesa yang disebabkan oleh segmen cacing pita yang keluar melalui dubur.

• Menjilat atau menggigit secara berlebihan – Anjing kerap menjilat kawasan sekitar ekor atau bahagian belakang badan akibat rasa gatal atau iritasi.

• Muntah atau cirit-birit – Gangguan pencernaan yang berlaku akibat kerengsaan pada lapisan usus.

• Kelesuan – Tahap tenaga berkurangan, terutamanya dalam kes infestasi yang lebih teruk.

Namun begitu, banyak tanda-tanda ini juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan lain. Oleh itu, sentiasa dapatkan nasihat doktor veterinar sekiranya anda mendapati sebarang perubahan atau gejala pada anjing anda.

Selain itu, mendapatkan rawatan daripada doktor veterinar dengan segera adalah penting kerana kelewatan rawatan boleh menyebabkan komplikasi, terutamanya bagi anjing yang mengalami infestasi cacing pita yang teruk. Antaranya termasuk:³

• Usus tersumbat – Jumlah cacing pita yang banyak boleh membentuk gumpalan di dalam usus sehingga menghalang laluan usus dan memerlukan rawatan kecemasan oleh doktor veterinar.

• Intususepsi (intussusception) – Keadaan yang jarang berlaku apabila sebahagian usus masuk ke dalam bahagian usus yang bersebelahan, sekali gus mengganggu bekalan darah ke kawasan tersebut.

• Kekurangan nutrien – Infestasi yang teruk boleh mengganggu penyerapan nutrien, menyebabkan pertumbuhan terbantut, penurunan berat badan dan bulu kelihatan kusam.

Lindungi Si Manja dengan Memutuskan Kitaran Hidup Kutu–Cacing Pita

Rawatan jangkitan cacing pita biasanya memerlukan pemeriksaan oleh doktor veterinar untuk mendapatkan diagnosis yang tepat serta ubat rawatan cacing yang sesuai. Pada masa yang sama, kutu juga perlu dihapuskan daripada tubuh anjing dan persekitaran rumah bagi mengelakkan jangkitan berulang.

Bergantung kepada tahap infestasi, proses ini mungkin memerlukan rawatan kutu yang dilakukan secara berulang, kawalan persekitaran serta pembersihan rumah secara menyeluruh. Hal ini boleh menjadikan proses rawatan mengambil masa yang panjang dan melibatkan kos yang tinggi.

Oleh sebab itu, mencegah adalah jauh lebih mudah daripada merawat. Walaupun anjing anda tidak pernah mengalami infestasi kutu atau jangkitan cacing pita, perlindungan parasit bulanan tetap perlu dijadikan sebahagian daripada rutin penjagaan kesihatan mereka bagi memastikan si manja sentiasa dilindungi sepanjang tahun.

Dapatkan nasihat doktor veterinar mengenai NexGard SPECTRA®, tablet kunyah bulanan berperisa daging lembu yang disyorkan oleh doktor veterinar dan memberikan perlindungan paling menyeluruh terhadap pelbagai parasit dalaman dan luaran dalam satu dos yang mudah. Bahan aktifnya, afoxolaner, membunuh kutu dengan pantas selepas kutu menghisap darah, sekali gus membantu memutuskan kitaran hidup kutu–cacing pita sebelum kutu yang telah dijangkiti sempat tertelan oleh anjing.

Untuk mengetahui lebih lanjut, dapatkan nasihat doktor veterinar anda atau kunjungi klinik rakan kongsi NexGard® bagi mendapatkan nasihat khusus tentang cara melindungi si manja anda daripada kutu, cacing pita dan parasit lazim lain sepanjang tahun.

Rujukan:

1. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC6013090/ 

2. https://www.cdc.gov/dpdx/dipylidium/ 

3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK537154/