Pengenalan
Penyakit cacing jantung ialah jangkitan parasit yang serius yang berpunca daripada Dirofilaria immitis, sejenis cacing gelang parasit yang disebarkan melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti parasit. Lebih 70 spesies nyamuk dikenal pasti mampu menyebarkan parasit ini dan boleh menjangkiti si manja dalam pelbagai persekitaran.¹ Di Malaysia, antara spesies nyamuk yang biasa ditemui adalah Aedes aegypti dan Aedes albopictus (nyamuk harimau Asia), yang juga dikenali sebagai pembawa penyakit seperti denggi, turut boleh menyebarkan parasit cacing jantung.
Mengapa Penyakit Cacing Jantung Kerap Berlaku di Malaysia?
Iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun menyediakan persekitaran yang ideal untuk nyamuk membiak. Memandangkan nyamuk merupakan pembawa utama parasit cacing jantung, kucing dan anjing di negara ini kekal berisiko dijangkiti sepanjang tahun.³
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa anjing jalanan lebih cenderung dijangkiti cacing jantung berbanding anjing peliharaan.³ Hal ini berkemungkinan disebabkan mereka lebih banyak terdedah kepada persekitaran luar, lebih kerap digigit nyamuk, serta tidak menerima perlindungan daripada parasit secara berkala.
Namun begitu, penyakit cacing jantung bukan hanya mengancam haiwan jalanan. Anjing peliharaan juga tidak terkecuali daripada risiko jangkitan. Malah, kajian mendapati hampir 4% anjing di Kuala Lumpur dijangkiti penyakit cacing jantung.³ Ini menunjukkan bahawa walaupun si manja dipelihara di dalam rumah, mereka masih berisiko dijangkiti kerana nyamuk boleh memasuki kediaman dan menyebarkan parasit cacing jantung.
Bagaimana Jangkitan Cacing Jantung Berlaku
Penyakit cacing jantung berlaku secara perlahan dan biasanya mengambil masa sekitar 6 hingga 7 bulan selepas si manja digigit nyamuk yang dijangkiti.⁵ Sepanjang tempoh ini, larva cacing jantung akan bergerak ke seluruh tubuh sebelum membesar menjadi cacing dewasa yang boleh merosakkan jantung, paru-paru dan saluran darah secara perlahan.
Akibatnya, tanda jangkitan cacing jantung hanya dapat dikesan setelah ianya berada pada tahap serius.⁵
Dalam kebanyakan kes, jangkitan cacing jantung terjadi melalui peringkat berikut:⁴⁻⁵
Peringkat 1: Nyamuk yang dijangkiti menggigit kucing atau anjing dan memindahkan larva cacing jantung ke dalam tubuh.
Peringkat 2: Larva memasuki tisu badan dan mula membesar.
Peringkat 3: Kira-kira 2 bulan selepas jangkitan, larva bergerak melalui tisu badan, bertukar menjadi cacing kecil sebelum memasuki aliran darah.⁴
Peringkat 4: Sekitar 4 bulan selepas jangkitan, cacing kecil bergerak ke jantung, paru-paru dan saluran darah di sekitarnya. Cacing terus membesar dan matang kerana organ-organ ini menyediakan persekitaran ideal untuk ia hidup dan membiak.⁴
Peringkat 5: Selepas 6 hingga 7 bulan daripada gigitan nyamuk yang pertama, cacing jantung mencapai peringkat dewasa dan mula menyebabkan kerosakan serius pada jantung, paru-paru serta saluran darah.⁵ Kehadiran cacing ini boleh menghalang aliran darah, menyebabkan keradangan, serta merosakkan tisu dan organ secara berperingkat dan perlahan.
Malangnya, jika jangkitan tidak dirawat, seekor anjing boleh menjadi perumah kepada sebanyak 250 ekor cacing jantung dewasa, dengan setiap satunya mampu membesar sepanjang kira-kira 12 inci.⁵ Kehadiran cacing dalam jumlah yang banyak boleh menghalang aliran darah serta memberi tekanan yang tinggi kepada jantung dan paru-paru. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan penyakit menjadi semakin serius dan mengakibatkan komplikasi yang mengancam nyawa si manja.
Antara tanda-tanda penyakit cacing jantung pada si manja yang perlu diberi perhatian:
• Batuk yang berterusan
• Cepat letih atau kurang bertenaga
• Kesukaran bernafas
• Penurunan berat badan
• Hilang selera makan
Dalam kes yang lebih serius, penyakit cacing jantung boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa seperti Sindrom Caval. Keadaan ini berlaku apabila sejumlah besar cacing berkumpul di dalam jantung dan saluran darah utama.⁵ Pengumpulan cacing tersebut boleh menghalang aliran darah daripada mengalir secara normal ke seluruh tubuh. Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi sistem kardiovaskular dan mengancam nyawa si manja anda.⁵
Cara Merawat Cacing Jantung
Walaupun jangkitan cacing jantung pada peringkat awal masih boleh dirawat, rawatan bagi penyakit yang telah berada pada tahap serius adalah lebih rumit, mengambil masa yang lebih lama, serta memerlukan kos rawatan yang tinggi. Proses ini juga boleh menjadi pengalaman yang mencabar, bukan sahaja untuk si manja, malah untuk pemilik.
Dalam kebanyakan kes, rawatan penyakit cacing jantung memerlukan penjagaan rapi oleh doktor veterinar selama beberapa bulan. Rawatan biasanya dimulakan dengan pemberian antibiotik untuk melemahkan cacing jantung serta merawat jangkitan bakteria yang berkaitan, di samping ubat untuk menghapuskan larva yang belum matang. Selepas keadaan haiwan kesayangan kembali stabil, doktor veterinar akan memberikan beberapa siri suntikan bagi membunuh cacing jantung dewasa secara berperingkat. Pendekatan ini bertujuan mengurangkan risiko komplikasi serius yang boleh berlaku apabila cacing dewasa mati di dalam tubuh.⁵
Dalam keadaan kecemasan, seperti jika terjadi Sindrom Caval, iaitu apabila sejumlah besar cacing jantung berkumpul sehingga menghalang aliran darah di dalam jantung, pembedahan untuk mengeluarkan cacing mungkin diperlukan bagi menyelamatkan nyawa haiwan kesayangan.⁵
Namun begitu, cabaran penyakit cacing jantung tidak berakhir sebaik sahaja rawatan dimulakan. Sepanjang tempoh pemulihan, si manja masih berisiko mengalami komplikasi yang boleh mengancam nyawa. Ini kerana apabila cacing jantung dewasa mati akibat rawatan, serpihannya boleh tersangkut di saluran darah paru-paru, sekali gus menyebabkan saluran darah tersumbat, keradangan dan kesukaran bernafas.⁵ Disebabkan ini, pemilik perlu menghadkan aktiviti fizikal si manja dan si manja perlu dipantau rapi oleh doktor veterinar sepanjang tempoh pemulihan.
Oleh sebab itulah doktor veterinar sentiasa menekankan bahawa mencegah adalah jauh lebih baik daripada merawat penyakit cacing jantung. Produk perlindungan bulanan seperti NexGard® COMBO untuk kucing dan NexGard SPECTRA® untuk anjing di rumus untuk menghapuskan larva cacing jantung yang menjangkiti haiwan kesayangan dalam tempoh 30 hari sebelumnya, sekali gus menghalang larva daripada membesar menjadi cacing dewasa. Dengan menghentikan jangkitan sebelum ia sempat berkembang, perlindungan bulanan daripada cacing jantung kekal sebagai cara yang paling mudah, selamat dan menjimatkan untuk melindungi haiwan kesayangan daripada penyakit yang berpotensi mengancam nyawa ini.
Lindungi Si Manja Sepanjang Tahun
Walaupun produk perlindungan daripada parasit terbukti berkesan melindungi kucing dan anjing daripada penyakit cacing jantung, keberkesanannya bergantung pada pemberian dos secara konsisten setiap bulan. Jadual dos perlindungan parasit yang tidak konsisten mewujudkan ruang untuk jangkitan dan meningkatkan risiko si manja dijangkiti parasit.
Dengan komitmen terhadap kerja, keluarga dan urusan harian, kadang kala menyukarkan anda untuk sentiasa ingat jadual perlindungan parasit si manja. Bagi memudahkan anda kekal konsisten, gunakan PetCare Reminders®, alat peringatan PERCUMA yang akan menghantar peringatan automatik terus ke kalendar anda apabila tiba masanya untuk memberikan dos bulanan kepada si manja. Dengan peringatan ini, anda boleh memastikan si manja terus mendapat perlindungan daripada cacing jantung secara berterusan.
Jangan tangguhkan lagi, set jadual perlindungan bulanan untuk si manja dengan PetCare Reminders® secara PERCUMA hari ini dan pastikan si manja sentiasa dilindungi daripada penyakit cacing jantung, sepanjang tahun.
References:
1. https://vet.osu.edu/sites/default/files/documents/Heartworm%20Fact%20Sheet%2020200123.pdf
2. https://www.cdc.gov/dpdx/dirofilariasis/index.html
3. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31027591/
4. https://www.researchgate.net/publication/331056279_The_prevalence_and_trends_of_canine_heartworm_Dirofilaria_immitis_in_Kuala_Lumpur_Malaysia_1970-2018
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31027591/
6. https://www.heartwormsociety.org/heartworms-in-dogs
7. https://www.fda.gov/animal-veterinary/animal-health-literacy/keep-worms-out-your-pets-heart-facts-about-heartworm-disease
8. https://www.msdvetmanual.com/dog-owners/heart-and-blood-vessel-disorders-of-dogs/heartworm-disease-in-dogs
9. https://bernama.com/en/news.php?id=2391711