Pencegahan Keracunan Haiwan Peliharaan: Risiko, Gejala, Dan Tindakan Segera

Daripada bahan pencuci rumah hinggalah kepada tanaman hiasan, barangan harian di dalam rumah  boleh mendatangkan risiko keracunan yang serius kepada anjing. Ketahui cara mengenal pasti tanda-tandanya, mencegah pendedahan secara tidak sengaja, dan bertindak dengan segera dalam situasi kecemasan.

Artboard 2.png
M - Dog Pet Poison.png

Keracunan Pada Anjing

Anjing meneroka dunia terutamanya melalui deria bau dan rasa. Walaupun sifat ingin tahu ini merupakan sebahagian daripada keunikan mereka, ia juga meningkatkan risiko keracunan secara tidak sengaja. Daripada sebiji pil yang terjatuh, kepada pembalut coklat yang dibuang atau lopak cecair pencuci di lantai boleh bertukar menjadi ancaman berbahaya dalam sekelip mata.

Hakitkatnya, banyak bahan yang selamat untuk manusia boleh mendatangkan kesan serius kepada anjing sekiranya tertelan, terhidu atau terkena pada kulit1. Oleh sebab itu, anjing merupakan antara haiwan yang paling kerap dibawa ke klinik veterinar di seluruh dunia bagi kes kecemasan melibatkan keracunan2.

Risiko Keracunan Di Rumah

Kebanyakkan kes keracunan pada anjing berlaku di dalam rumah atau persekitaran yang biasa bagi mereka. Antara puncanya termasuklah³:

• Pencuci rumah: Peluntur, pembasmi kuman, pencuci lantai, pencuci pakaian.

• Ubat manusia: Paracetamol, ibuprofen, antidepresan, suplemen seperti zat besi, vitamin D atau kafein.

• Racun serangga dan perosak: Umpan semut, semburan lipas, racun tikus, ubat nyamuk lingkaran, bahan fogging.

• Tumbuhan: Pokok sago, teratai, Bunga oleander, cendawan/ kulat.

• Makanan: Coklat, anggur dan kismis, bawang merah, bawang putih, alkohol, produk yang mengandungi xylitol.

Bagaimana Anjing Terdedah Kepada Racun

Berbeza dengan kucing, yang sering terdedah secara tidak langsung melalui perbuatan menjilat bulu, anjing lebih cenderung untuk menelan bahan toksik secara terus dan dalam jumlah yang lebih pekat, sekali gus meningkatkan risiko keracunan yang lebih serius4. Situasi tipikal termasuklah:

• Menggeledah tong sampah untuk mencari sisa makanan yang mengandungi bahan toksik seperti bawang merah, bawang putih, atau anggur.

• Menelan ubat manusia (seperti parasetamol) atau objek ‘mainan kunyah’ yang beracun seperti biji sagu.

• Berjalan di atas lantai yang baru dimop atau halaman rumput yang dirawat dengan racun perosak, lalu menjilat sisa bahan tersebut.

• Menemui racun perosak yang diletakkan di kawasan yang ‘sukar dicapai’ tetapi masih boleh ditemui oleh anjing.

Tanda-Tanda Awal Keracunan

Simptom mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan jumlah bahan toksik yang terdedah. Namun, pengesanan dan rawatan awal boleh meningkatkan peluang pemulihan. Antara tanda awal yang perlu diperhatikan5:

• Air liur meleleh secara berlebihan.

• Muntah atau cirit-birit.

• Menggaru atau menggosok pada mulut dan muka.

• Gelisah atau resah.

Jika pendedahan secara berterusan atau rawatan dilengahkan, gejala lebih serius boleh berlaku seperti6:

• Lemah atau tidak bermaya.

• Menggigil atau sawan.

• Sukar bernafas.

• Hilang selera makan.

• Gusi menjadi pucat atau kekuningan.

• Rebah atau pengsan.

Tindak Balas Kecemasan: Apa Yang Harus Dilakukan

Sekiranya anjing menunjukkan gejala keracunan dan pendedahan kepada bahan toksik disyaki, ambil langkah berikut dengan segera:

1. Hentikan Pendedahan: Alihkan anjing anda dengan selamat dari bahan tersebut.

2. Dapatkan Bantuan: Hubungi doktor veterinar atau klinik haiwan kecemasan dengan segera.

3. Periksa Label: Jika boleh, bawa bungkusan atau ambil gambar tumbuhan/ label produk kepada veterinar untuk membantu mengenal pasti bahan toksik.

4. Ikut Arahan: Jangan paksa anjing anda muntah kecuali diarahkan oleh professional. Sesetengah bahan kimia boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk jika melalui tekak untuk kali kedua.

Pencegahan: Langkah Pertahanan Utama

Walaupun keracunan boleh menjadi situasi yang menakutkan, banyak kes sebenarnya boleh dicegah dengan langkah keselamatan yang proaktif⁷. Antaranya:

• Gunakan tong sampah yang bertutup dan berkunci untuk mengelakkan anjing menggeledah.

• Simpan semua ubat dan bahan kimia di tempat tinggi dan berkunci.

• Pilih produk yang selamat untuk haiwan dan pastikan lantai kering sepenuhnya sebelum membenarkan anjing anda kembali ke bilik.

• Baca label semua produk ‘semula jadi’ atau ‘herba’, kerana ia juga boleh menjadi racun kepada anjing.

Untuk maklumat lanjut mengenai risiko keracunan pada anjing serta langkah pencegahan yang sesuai, dapatkan nasihat doktor veterinar berhampiran anda.

Refs: 

1. ASPCA Animal Poison Control Center. Annual Report on Pet Poisoning Cases.

2. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32808903/ 

3. https://www.pdsa.org.uk/pet-help-and-advice/looking-after-your-pet/all-pets/poisons-and-hazards-for-your-pets

4. https://vcahospitals.com/resources/lifestyle-dog/hazards-safety

5. https://www.msdvetmanual.com/special-pet-topics/poisoning/introduction-to-poisoning

6. World Small Animal Veterinary Association (WSAVA). Emergency Management of Toxin Exposure in Dogs.

7. https://www.petpoisonhelpline.com/pet-owners/