Keracunan Pada Kucing
Kucing secara semula jadi mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Sama ada melompat ke atas kaunter dapur, berjalan di atas lantai yang baru dibersihkan, atau menjilat bulu selepas meneroka persekitaran, rutin harian ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada bahan toksik tanpa disedari.
Malangnya, kucing lebih terdedah kepada keracunan kerana mereka kekurangan enzim hati tertentu yang diperlukan untuk memecahkan bahan kimia dengan selamat1. Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit serius walaupun hanya terdedah kepada sejumlah kecil toksin2.
Malah, lebih daripada 10% kes keracunan haiwan peliharaan yang dilaporkan melibatkan kucing, dengan pendedahan berlaku melalui makanan yang dimakan, udara yang dihidu, atau sentuhan kulit dengan bahan rumah yang bersifat toksik kepada kucing3.
Bagaimana Kucing Terdedah Kepada Bahan Toksik
Berbeza dengan anjing yang cenderung menelan objek yang mencurigakan, kucing lazimnya mengalami keracunan melalui sentuhan tidak langsung dengan bahan toksik yang melekat pada tapak kaki atau bulu, sebelum dijilat ketika mereka membersihkan diri4.
Antara cara pendedahan yang lazim termasuk :
• Berjalan di atas permukaan yang baru dibersihkan dengan bahan kimia.
• Menjilat sisa bahan pada lantai, kaunter atau perabot.
• Mengunyah atau menggigit tumbuhan.
• Menjilat bulu selepas bermain di kawasan tercemar.
Berita buruknya, terdapat pelbagai barangan rumah yang boleh membahayakan kucing, antaranya5:
• Bahan pencuci: Peluntur, pembasmi kuman, pencuci lantai, detergen.
• Ubat manusia: Paracetamol, ibuprofen, produk sapuan seperti losyen dan krim, serta suplemen seperti zat besi, vitamin D, atau kafein.
• Racun Perosak: Umpan semut, semburan lipas, ubat lingkaran nyamuk, racun tikus.
• Tumbuhan: Teratai, dafodil, cendawan tertentu
• Makanan: Bawang, bawang putih, coklat, alkohol, makanan mengandungi xylitol.
Tanda Dan Simptom Keracunan
Dalam kebanyakan kes, tanda klinikal bergantung kepada jenis racun dan jumlah yang terlibat. Pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting dan boleh menyelamatkan nyawa. Antara tanda awal yang perlu diberi perhatian termasuk6:
• Air liur berlebihan atau berbuih pada mulut.
• Muntah dan/atau cirit-birit
• Gelisah secara tiba-tiba atau perangai menyorok secara tidak biasa.
Jika tidak dirawat, gejala yang lebih serius boleh berlaku, seperti7:
• Lemah dan tidak aktif
• Menggigil atau sawan
• Kesukaran bernafas
• Hilang selera makan
• Penyakit kuning (mata atau gusi menjadi kekuningan, menandakan kerosakan hati)
Tindakan Semasa Kecemasan
Sekiranya disyaki berlaku keracunan, pemilik perlu kekal tenang dan mendapatkan bantuan dengan segera. Rawatan veterinar yang pantas amat penting bagi meningkatkan peluang pemulihan haiwan. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah:
• Menjauhkan kucing anda daripada punca keracunan
• Hubungi doktor haiwan atau klinik haiwan kecemasan.
• Tidak memaksa kucing muntah kecuali atas arahan doktor haiwan
• Bawa produk yang disyaki ke klinik, bagi membantu proses rawatan
Mencegah Keracunan di Rumah
Seperti kebanyakan kecemasan perubatan, mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan dimulakan dengan langkah-langkah keselamatan proaktif. Pemilik haiwan peliharaan boleh mengurangkan risiko dengan8:
• Menyimpan bahan pencuci dan ubat-ubatan di tempat selamat dan tertutup.
• Memilih produk pembersihan dan kawalan perosak yang selamat untuk haiwan.
• Mengelakkan tumbuhan bertoksik dan meletakkannya jauh daripada dicapai oleh kucing.
• Membiarkan permukaan yang dirawat kering sepenuhnya sebelum membenarkan kucing melaluinya.
• Membaca label produk dengan teliti sebelum digunakan.
Secara kesimpulannya, walaupun kes keracunan haiwan peliharaan boleh menimbulkan kebimbangan, kebanyakan kes sebenarnya boleh dicegah. Dengan mengenal pasti potensi bahaya di rumah dan bertindak pantas ketika kecemasan, anda boleh membantu memastikan kucing kesayangan anda kekal selamat, sihat dan ceria.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bahan yang mungkin berbahaya, atau cara mengurangkan risiko keracunan, anda boleh berbincang dengan doktor haiwan berhampiran anda.
Refs:
1. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/10862526
2. https://www.vet.cornell.edu/departments-centers-and-institutes/cornell-feline-health-center/health-information/feline-health-topics/common-cat-hazards-0
3. ASPCA Animal Poison Control Center. Annual Report on Pet Poisoning Cases.
4. https://vcahospitals.com/know-your-pet/household-hazards-toxic-hazards-for-cats
5. https://www.pdsa.org.uk/pet-help-and-advice/looking-after-your-pet/all-pets/poisons-and-hazards-for-your-pets
6. https://icatcare.org/articles/cats-and-poisons
7. World Small Animal Veterinary Association (WSAVA). Emergency Management of Toxin Exposure in Cats.
8. https://icatcare.org/articles/cats-and-poisons