Pengenalan
Dengan jangka hayat kucing yang lebih lama dan tinggal sepenuhnya di dalam rumah, banyak yang kurang aktif dan cenderung mengalami berat badan berlebihan. Gaya hidup yang tidak aktif serta pemakanan tinggi karbohidrat merupakan antara penyumbang utama kepada obesiti, yang semakin meningkat dalam kalangan kucing peliharaan dan menjadi faktor risiko utama diabetes.
Sering digelar sebagai “pembunuh senyap”, diabetes pada kucing sukar dikesan pada peringkat awal.Namun, jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada komplikasi serius seperti jangkitan berulang, kerosakan organ dan juga kematian pramatang.
Bagi kucing yang tidak bergantung sepenuhnya kepada insulin, pilihan rawatan oral seperti Senvelgo® kini tersedia.
Ubat cecair sekali sehari ini berfungsi dengan menghalang buah pinggang daripada menyerap semula glukosa, membolehkan lebihan gula disingkirkan melalui air kencing, sekali gus membantu menurunkan paras gula dalam darah dengan ketara. Namun, jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan berulang, kerosakan organ, dan juga kematian pramatang.
Untuk memahami lebih lanjut tentang apa itu diabetes pada kucing, bagaimana ia terjadi, dan cara menguruskannya, teruskan membaca.
Apakah Diabetes Kucing?
Sebelum memahami diabetes pada kucing, adalah penting untuk mengetahui apakah itu insulin. Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh pankreas yang membantu mengawal paras gula darah dengan memindahkan glukosa daripada aliran darah ke dalam sel badan,untuk digunakan sebagai sumber tenaga.
Diabetes pada kucing ialah keadaan kronik yang berlaku apabila badan kucing sama ada tidak menghasilkan insulin yang mencukupi (Diabetes Tahap 1) atau menjadi kurang responsif insulin (Diabetes Tahap 2). Sama seperti manusia, kebanyakan kes dalam kalangan kucing berpunca daripada rintangan insulin, iaitu apabila tubuh badan berhenti memberi tindak balas dengan yang berkesan terhadap insulin.
Apabila keadaan ini berlaku, gula tidak boleh digunakan dengan berkesan dan akan terkumpul di dalam darah, menyebabkan paras gula darah meningkat (hiperglisemia). Jika paras gula darah kekal tinggi terlalu lama, ia boleh mula merosakkan tubuh badan, menjejaskan organ penting seperti buah pinggang dan hati, serta saraf dan sistem imun.
Faktor Risiko Utama
Walaupun mana-mana kucing boleh menghidap diabetes, beberapa faktor boleh meningkatkan risiko dengan ketara:
• Obesiti: Kucing yang berlebihan berat badan mempunyai risiko sehingga empat kali ganda lebih tinggi kerana lemak berlebihan mengurangkan sensitiviti terhadap insulin.
• Tidak Aktif Secara Fizikal: Gaya hidup tidak aktif menyukarkan kawalan paras gula dalam darah.
• Umur dan Jantina: Lebih biasa berlaku pada kucing jantan yang dimandul, disebabkan perubahan hormon yang boleh meningkatkan selera makan dan menggalakkan penambahan berat badan. Kucing yang berumur lebih tujuh tahun juga berisiko disebabkan oleh fungsi insulin yang berkurangan dan peningkatan komorbiditi.
• Ubat-ubatan: Penggunaan kortikosteroid jangka panjang boleh menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah dan mengurangkan sensitiviti insulin.
• Diet: Pengambilan diet tinggi karbohidrat yang kerap boleh menyebabkan lonjakan paras gula dalam darah berulang dan peningkatan tekanan metabolik.
“Penyakit Secara Senyap”: Kepentingan Pengesanan Awal
Diabetes pada kucing sering tidak disedari pada peringkat awal kerana kucing secara naluri menyembunyikan tanda-tanda penyakit. Di alam liar, menunjukkan kelemahan boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, dan tingkah laku ini masih kekal dalam kucing domestik. Akibatnya, apabila kucing mula kelihatan tidak sihat, penyakit ini selalunya sudah berada pada tahap yang lebih lanjut.
Oleh Itu, pengesanan awal amat penting kerana intervensi yang tepat pada masanya dapat meningkatkan hasil rawatan dan kualiti hidup dengan ketara. Pemilik kucing disarankan untuk peka terhadap tanda-tanda awal berikut:
• Rasa haus yang berpanjangan (Polydipsia): Mengisi semula mangkuk air lebih kerap daripada biasa.
• Kencing Secara Berlebihan (Polyuria): Gumpalan yang lebih besar atau lebih berat di dalam kotak pasir.
• Penurunan Berat Badan: Berat badan menurun walaupun selera makan meningkat (polyphagia).
• Kelesuan: Kurang aktif, kurang minat untuk bermain, atau kesukaran untuk melompat.
Malangnya, jika tidak dirawat, diabetes kucing boleh melarat kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Malah, apabila tubuh badan tidak dapat menggunakan glukosa untuk tenaga, ia mula memecahkan lemak dan otot, yang boleh mengakibatkan:
• Ketoasidosis Diabetik (DKA): Keadaan kecemasan apabila pemecahan lemak menghasilkan keton, iaitu sebatian berasid yang terkumpul dalam darah dan mengganggu keseimbangan pH badan. Gejala termasuk muntah, dehidrasi dan kelemahan yang teruk.
• Neuropati Diabetik: Paras gula darah yang tinggi secara berpanjangan merosakkan saraf, terutamanya pada anggota belakang, menyebabkan kelemahan dan cara berjalan yang tidak normal.
• Jangkitan Sekunder: Tahap glukosa yang tinggi dalam darah dan air kencing mewujudkan persekitaran yang ideal untuk pertumbuhan bakteria, sekaligus meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing atau kulit.
• Kerosakan Organ: Hiperglisemia yang berpanjangan memberikan tekanan pada buah pinggang dan hati, yang boleh menyebabkan disfungsi jangka panjang.
Pilihan Rawatan
Berita baiknya diabetes pada kucing boleh diuruskan dengan berkesan, dan dalam sesetengah kes, boleh mencapai remisi jika dikesan awal dan dirawat dengan betul. Antara pilihan rawatan termasuk:
1.Pengurusan Konservatif
Pada peringkat awal , terutamanya bagi kucing yang berlebihan berat badan, perubahan gaya hidup merupakan asas pengurusan. Penurunan berat badan secara beransur-ansur melalui diet terkawal yang tinggi protein dan rendah karbohidrat, bersama aktiviti fizikal yang konsisten, boleh meningkatkan sensitiviti insulin dan berpotensi membawa kepada remisi.
2. Suntikan Insulin
Sekiranya perubahan gaya hidup sahaja tidak mencukupi, doktor veterinar mungkin akan mencadangkan terapi insulin bagi membantu glukosa masuk ke dalam sel badan.
Insulin biasanya diberikan melalui suntikan menggunakan jarum yang sangat halus, lazimnya dua kali sehari selepas makan. Walaupun berkesan, rawatan ini memerlukan pematuhan yang ketat terhadap jadual dos, teknik suntikan yang betul serta pemantauan berterusan. Sesetengah kucing juga mungkin sukar dikendalikan, yang boleh menjadikan pengurusan jangka panjang lebih mencabar bagi pemilik.
3. Ubat-Ubatan Oral
Bagi kucing yang tidak bergantung sepenuhnya kepada insulin, pilihan rawatan oral seperti Senvelgo® kini tersedia. Ubat cecair sekali sehari ini berfungsi dengan menghalang buah pinggang daripada menyerap semula glukosa, membolehkan lebihan gula disingkirkan melalui air kencing, sekali gus membantu menurunkan paras gula dalam darah.
Satu rawatan yang diluluskan oleh FDA, data klinikal yang menunjukkan bahawa Senvelgo® berkesan dalam mengawal paras gula darah dalam lebih 80% kucing yang baru didiagnosis, malah sebahagiannya mencapai remisi. Formulasinya yang berperisa madu juga memudahkan pemberian berbanding suntikan, dan tidak memerlukan penyimpanan dalam peti sejuk, sekali gus memberikan kemudahan tambahan kepada pemilik haiwan peliharaan.
Refs
1. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/29140289/
2. https://www.mdpi.com/2306-7381/12/6/529
3. https://joe.bioscientifica.com/view/journals/joe/222/3/T1.xml
4. https://www.dovepress.com/managing-feline-diabetes-current-perspectives-peer-reviewed-fulltext-article-VMRR
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19034421/
6. https://journals.sagepub.com/doi/10.1177/1098612X211021540
7. https://academic.oup.com/jvim/article/30/4/964/8452839?login=false
8. https://www.dovepress.com/managing-feline-diabetes-current-perspectives-peer-reviewed-fulltext-article-VMRR
9. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC11148891/
10. https://www.vet.cornell.edu/departments-centers-and-institutes/cornell-feline-health-center/health-information/feline-health-topics/feline-diabetes
11. https://academic.oup.com/jnen/article-abstract/61/10/872/2916290?redirectedFrom=fulltext
12. https://www.aaha.org/wp-content/uploads/globalassets/02-guidelines/diabetes/2018-aaha-diabetes-management-guidelines-2022-update.pdf
13. https://www.aaha.org/wp-content/uploads/globalassets/02-guidelines/diabetes/2018-aaha-diabetes-management-guidelines-2022-update.pdf
14. https://veterinarypartner.vin.com/default.aspx?pid=19239&id=4952919
15. https://veterinarypartner.vin.com/doc/?id=4951390
16. https://www.aaha.org/wp-content/uploads/globalassets/02-guidelines/diabetes/sponsorresources/senvelgo-vet-detailer.pdf
17. https://www.vet.cornell.edu/departments-centers-and-institutes/cornell-feline-health-center/health-information/feline-health-topics/feline-diabetes